PUTRAJAYA – Penjawat awam masih boleh memiliki rumah mampu milik walaupun tiada lagi rumah khas kelompok penjawat awam di bawah ketetapan baharu Dasar Perumahan Mampu Milik (DRMM) Negara dan Standard Perumahan Kebangsaan (SPK), kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.
Beliau berkata, kementeriannya mensasarkan 9,000 penjawat awam akan menerima rumah mampu milik tahun ini.
“Jadi tiada isu (kerajaan) tak buat rumah untuk penjawat awam,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen Dekad Membaca Kebangsaan peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini hari ini.
Zuraida sebelum ini mengumumkan tiada lagi rumah khas kelompok penjawat awam, dalam pelaksanaan ketetapan baharu DRMM Negara SPK tahun ini, bagi memastikan kelestarian perhubungan dalam suatu komuniti.
Pada Isnin lepas, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda dilaporkan meminta pembinaan rumah mampu milik untuk kakitangan awam menerusi DRMM Negara dikekalkan. – Bernama











