PUTRAJAYA 7 Mei – “Saya kira merupakan penilaian yang agak adil daripada seorang yang mempunyai pengalaman dalam pemerintahan.”
Itu reaksi Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mengenai penilaian yang diberikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada prestasi barisan Kabinet di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas hampir setahun menerajui pentadbiran negara.
Menurut Maszlee, sebagai Perdana Menteri yang mempunyai pengalaman panjang dalam pentadbiran, Dr. Mahathir sudah tentu lebih tahu untuk memberikan penilaian kepada mana-mana pihak.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri perhimpunan bersama warga Kementerian Pendidikan Malaysia sempena setahun PH mentadbir kerajaan.
Semalam, Dr. Mahathir dalam sidang media sempena setahun pemerintahan PH memberikan nilai pencapaian lima daripada 10 kepada prestasi barisan Kabinet kerajaan PH sekali gus menolak berlaku sebarang rombakan Kabinet.
Dalam pada itu, ketika ditanya pendirian beliau mengenai kenyataan Dr. Mahathir terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata: “Dia cakap apa? Dia cakap di mana? Saya kena tengok sidang media lagi. Saya sibuk menyediakan untuk majlis hari ini. Saya kena lihat dulu.”
Dr. Mahathir semalam menyifatkan Tunku Ismail sebagai ‘seorang budak kecil bodoh’ dan tidak tahu apa yang berlaku.
Kenyataan yang dilihat kasar oleh Perdana Menteri itu sebagai menjawab kenyataan terbaharu Tunku Ismail berhubung perkara baik dilakukan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang tidak dihebohkan khususnya jumlah tanah Sultan Johor yang dikurnakan untuk rakyat dan kebaikan lain.
Dalam pada itu, Maszlee berkata, kementeriannya sedang melihat keseluruhan sistem pendidikan negara untuk dibuat penambahbaikan dalam semua aspek. – UTUSAN ONLINE











