TAIPING – Padah menipu urusan pakej haji, seorang pengarah syarikat dijatuhi hukuman denda berjumlah RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Mohd. Hairul Jemain menjatuhkan hukuman denda tersebut terhadap tertuduh, Razali Abdul Rahman, 62, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah hari ini atas lima pertuduhan berkenaan.
Mengikut kelima-lima pertuduhan, tertuduh yang merupakan Pengarah Syarikat Mast Travel Sdn. Bhd. didakwa gagal mematuhi Award Tribunal Pengguna Malaysia bertarikh 8 Februari 2018 yang memerintahkan dia membayar balik masing-masing RM5,000 kepada lima pihak penuntut dalam masa 14 hari.
Berita berkaitan:
Tertuduh didakwa gagal melaksanakan perintah demikian di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia, Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Taiping pada 16 Ogos 2018.
Razali didakwa melalukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan dibaca bersama Seksyen 143 akta yang boleh dihukum denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Terdahulu, tertuduh dalam rayuan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadapnya memandangkan dia pernah diserang sakit angin ahmar selain menjaga isterinya yang mempunyai sakit barah payudara.
Mohd. Hairul kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,000 bagi setiap pertuduhan. Sekiranya gagal membayar, dia bakal dikenakan hukuman penjara selama dua bulan bagi setiap pertuduhan. Tertuduh membayar denda berkenaan. – K! ONLINE











