KULIM 2 Mei – Perbuatan seorang penganggur memecahkan tabung sebuah surau untuk mencuri wang, menjerat diri sendiri apabila dia berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sehingga menyebabkannya dikenal pasti sebelum ditangkap, semalam.
Berdasarkan rakaman itu, suspek berusia 59 tahun dirakam melakukan perbuatan tersebut di surau berkenaan di Lunas dekat sini, kira-kira pukul 11.40 malam, kelmarin.
Pemangku Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Safuan Md. Noor berkata, kehilangan wang berjumlah kira-kira RM800 tersebut disedari oleh seorang ahli kariah selepas mendapati kunci tabung di surau tersebut telah dipotong.
Kata beliau, berikutan itu, berdasarkan maklumat, suspek yang mempunyai 21 rekod jenayah lampau ditahan oleh anggota polis peronda di Taman Tiram, Lunas kira-kira pukul 9 pagi semalam.
“Pemeriksaan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes pecah masuk bangunan, curi, memiliki barang curi dan keganasan rumah tangga selain dikehendaki bagi satu kes penipuan di Negeri Sembilan,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambah beliau, suspek yang berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang itu ditahan reman selama empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE











