KUALA LUMPUR – Seorang penerbit filem maut selepas dirempuh sebuah van dalam satu kemalangan di Jalan Kuching berhampiran Bulatan Segambut di sini awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasa Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.20 pagi sewaktu mangsa, Mokharul Shamsul Mokhtar, 46, dalam perjalanan menghala ke Selayang dari arah pusat bandar.
“Ketika melalui lokasi kejadian, mangsa yang memandu sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Jip Land Cruiser telah menyalakan lampu isyarat kecemasan dan berhenti di lorong kiri jalan untuk menukar tayar kenderaannya yang pancit namun tidak meletakkan kon atau sebarang tanda amaran.
“Sewaktu menukar tayar, sebuah van jenis Ford Spectron yang melalui lorong sama dari arah belakang telah cuba mengelak kereta mangsa dengan bertukar ke lorong kanan namun mangsa yang terkejut seterusnya bangun dan berundur ke belakang mengakibatkan dia dirempuh van tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut Zulkefly, akibat rempuhan tersebut, mangsa yang menetap di Ampang, Selangor telah tercampak kira-kira 23 meter dari kenderaannya dan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada kepala.
“Pemandu van berkenaan yang berusia 47 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan berhubung kejadian masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tegas beliau.
Mokharul merupakan pemilk syarikat produksi DA Motion Media yang ditubuhkan sejak setahun lalu dan filem sulung terbitan beliau berjudul Jodoh Syaitan dijangka akan ditayangkan di pawagam pada tahun hadapan.
Difahamkan, Mokharul sedang dalam perjalanan pulang selepas selesai mengagihkan sumbangan Aidilfitri kepada anak-anak yatim di ibu kota sebelum kemalangan berlaku. – K! ONLINE











