Pendapatan TNB meningkat RM13.24b - Utusan Malaysia

Pendapatan TNB meningkat RM13.24b

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Mei – Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencatatkan pendapatan lebih tinggi sebanyak RM13.24 bilion bagi suku pertama 2019 berbanding RM12.27 bilion pada tempoh sama 2018 disebabkan jualan elektrik yang lebih kukuh.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Amir Hamzah Azizan berkata, jualan elektrik meningkat kepada 28,471.1 GWh pada suku pertama tahun ini sebahagian besarnya kerana pertumbuhan 4.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Katanya, pihaknya menjangkakan jualan lebih tinggi ber­ikutan peningkatan penggunaan elektrik kesan cuaca panas ketika ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Keuntungan sebelum cukai, faedah, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) turut meningkat sebanyak 17.6 peratus kepada RM4.96 bilion dengan margin sebanyak 37.5 peratus berikutan kesan Standard Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) 16.

“Margin positif ini dicapai menerusi pelaksa­naan inisiatif utama untuk menyusun semula per­khidmatan perniagaan dalaman untuk me­ningkatkan produktiviti bagi menyokong perkemba­ngan dan memperluaskan perniagaan dalam bidang perniagaan tidak dikawal selia seperti sistem solar PV dan jalur lebar berkelajuan tinggi,” katanya dalam ke­nyataan di sini hari ini

Merosot

Tambahnya, keuntungan kum­pulan selepas cukai (PAT) merosot 28.1 peratus kepada RM1.52 bilion disebabkan kesan Pelarasan Kawal Selia yang lain perlu dikembalikan semula, rosot nilai pelaburan antarabangsa dan cukai tinggi kerana ketiadaan insentif elaun pelaburan semula pada tahun semasa yang dinilai.

“Prestasi kumpulan bagi tahun kewangan 2019 dijangka kekal stabil berikutan pertumbuhan ekonomi negara dijangka terus stabil disokong oleh langkah-langkah kewangan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan peningkatan berterusan permintaan domestik,” katanya.

Bagi urus niaga tempatan, Amir Hamzah berkata, anak syarikat milik penuh TNB iaitu TNB Renewables Sdn. Bhd. (TRe) menerajui dan mempercepatkan pertumbuhan perniagaan tenaga boleh diperbaharui (RE) di Malaysia dengan me­rebut peluang pertumbuhan dalam aset RE berskala besar dan kecil selain mengembangkan platform penjanaan sendiri secara runcit.

Katanya, anak syarikat milik penuh TRe, GSPARX Sdn. Bhd. beroperasi atas model perniagaan untuk menyediakan sistem solar PV bagi pelanggan kediaman melalui pilihan tunai dan pajakan.

“Sehingga kini, kontrak RE sebanyak 1.3 juta MWp telah disahkan di bawah GSPARX. TNB juga bekerjasama dengan Malaysian Green Technology Corporation dengan sasaran untuk memasang sehingga 10,000 stesen pengecasan EV di seluruh negara.

“Syarikat sedang berusaha meningkatkan portfolio tenaga boleh baharu sebanyak 70 MW menerusi penyertaannya dalam skim Solar Berskala Besar (LSS) ketiga. TNB kini mempunyai aset LSS 50MW dan 30MW masing-masing di Sepang, Selangor dan Bukit Selambau, Kedah,” ujarnya.

Aset antarabangsa

Mengenai aset antarabangsa, beliau berkata, TNB memberi tumpuan terhadap usaha memperkukuhkan perniagaan dan kedudukan di negara-negara operasi dengan berhemat dalam pelaburan dan memastikan model perniagaan tersebut berada pada kedudukan yang baik.

“Syarikat turut melaksanakan rosot nilai dan sedang meneroka beberapa pilihan lindung nilai bagi mengurangkan kesan kerugian pertukaran mata wang asing sebagai sebahagian daripada rancangan untuk mengurangkan impak kewangan daripada pelaburan,” katanya.

Permintaan elektrik di Turki dijangka meningkat sementara pelaburan di India menunjukkan potensi pertumbuhan yang mapan sejajar penggunaan ­elektrik yang dijangka meningkat di negara itu.

Mengenai perkembangan industri, Amir Hamzah berkata, TNB telah menetapkan sasaran untuk mengembangkan kapasiti RE dalam dan luar negara kepada 1,700 MW ­menjelang 2025.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini