KUALA LUMPUR 21 Mei – Seorang bekas pegawai kanan di sebuah syarikat swasta bergelar Datuk dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah bernilai RM135 juta membabitkan projek pembekalan peralatan kenderaan milik agensi pertahanan negara.
Suspek berusia 56 tahun itu ditahan di rumahnya di Lembah Klang kira-kira pukul 9 pagi ini.
Menurut sumber, hasil siasatan SPRM mendapati, jumlah suapan tersebut dipercayai telah diseleweng daripada peruntukan projek bernilai lebih RM 7.5 bilion daripada kerajaan.
Ujarnya, siasatan tersebut membabitkan pembekalan kereta perisai AV8 bernilai RM7.5 Billion dan kereta perisai AV4 bernilai RM155 juta.
“Suspek merupakan individu kedua yang dipanggil selepas bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di syarikat sama hadir membantu siasatan semalam.
“Setakat ini, siasatan lanjut masih berjalan dan masih tidak dapat dipastikan sama ada suspek akan direman atau dibebaskan sebaik sahaja selesai memberi keterangan,” katanya di sini hari ini.
Semalam, seorang pemilik syarikat bergelar Datuk Seri direman selama empat hari selepas dipercayai memberi suapan bagi projek pembekalan peralatan kereta kebal itu kepada orang-orang tertentu.
Selain beliau, turut dipanggil SPRM iaitu seorang bekas CEO berusia 50-an bagi membantu siasatan semalam.
Pada 12 Mei lalu, Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat swasta bergelar Datuk bersama seorang wanita yang juga Ketua Pegawai Kewangan (CFO) syarikat terbabit turut ditahan SPRM.-UTUSAN ONLINE











