MELBOURNE – Seorang pemancing terkejut apabila berjaya menaikkan seekor ikan jenis rainbow trout yang mempunyai benjolan besar pada kepala sebelum bertanya mengenai spesimen pelik itu dalam media sosial baru-baru ini. Adrian James berjaya menangkap ikan seberat 4.5 kilogram itu di Sungai Goulburn dekat Thornton di timur laut negeri Victoria. Dia kemudian memuat naik gambar ikan tersebut di laman media sosial sekali gus mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen.
“Tidak pasti benjolan apakah ini,” katanya menerusi kapsyen foto yang menunjukkan James memegang ikan besar tersebut lengkap dengan peralatan memancing.
Pertanyaan lelaki itu menimbulkan banyak reaksi termasuk ada yang bergurau mengatakan ikan tersebut adalah jenis rainbow trout unta. Seorang ahli komuniti memancing, Steph Watts berkata, dia tidak pernah melihat ikan seperti itu sebelum ini.
“Pertamanya, ikan ini ditangkap di persekitaran semula jadi dan bukannya menerusi pusat akuakultur yang mana sesetengah ikan lebih terdedah kepada jangkitan.
“Keduanya, benjolan itu tumbuh di kawasan yang tidak sepatutnya iaitu di belakangnya dan tidak berhampiran dengan organnya,” katanya seperti dilaporkan akhbar Daily Mail.
Sementara itu, pengkaji dari Pusat Perikanan Tropika dan Akuakultur Mapan di Universiti James Cook, Dr. Andrew Chin berkata, benjolan tersebut mungkin sista atau satu ketumbuhan. – Agensi
Adrian_James1/Instagram
JAMES menunjukkan ikan dengan benjolan pelik yang ditangkapnya di Sungai Goulburn baru-baru ini.
ANDRIAN_JAMES1/INSTAGRAM
BENJOLAN besar pada badan ikan ini mungkin sista atau sejenis ketumbuhan.











