KEMAMAN 26 Mei – Pemain pertahanan pasukan Melaka United, Mohd. Faizal Muhamad, 30, cedera selepas kenderaan dipandunya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 250.2 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran jejambat Plaza Tol Jabor di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, Mohd. Faizal yang memandu kereta jenis Toyota Vellfire mengalami kecederaan pada muka dan kepala manakala penumpang kenderaan jenis Honda HRV, Sabariah Seman, 60, pula cedera di dada.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Said Ibrahim berkata, mangsa, Mohd. Faizal yang beralamat di Kampung Sentul Patah di Marang di samping Sabariah yang merupakan pesara guru dari Kuantan, Pahang dikatakan dalam perjalanan menghala ke Kuala Terengganu.
Bagaimanapun, kenderaan pemain bola sepak itu tiba-tiba hilang kawalan ketika di lokasi kejadian lalu merempuh bahagian belakang sebelah kanan Honda HRV yang dipandu anak Sabariah, Nur Alya Zulaikha Mohd. Suhaimi, 24.
“Akibat pelanggaran itu, Honda HRV berpusing dan terbalik manakala Toyota Vellfire terbabas di atas penghadang jalan sebelah kiri.
“Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan, Pahang untuk mendapatkan rawatan,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) dalam satu kenyataan di laman rasmi Facebook berkata, Mohd. Faizal dalam perjalanan pulang ke Terengganu selepas perlawanan Liga Super 2019 menentang Perak di Stadium Perak di Ipoh, Perak malam tadi.
Katanya, dalam perlawanan itu, Mohd. Faizal merupakan antara pemain di bangku simpanan skuad Hang Tuah dan tidak diturunkan.
“Semoga beliau segera pulih daripada kecederaan untuk kembali membantu pasukan mengharungi perlawanan-perlawanan akan datang,” katanya. – UTUSAN ONLINE











