KEMAMAN 6 Mei – Seorang pegawai keselamatan wanita di sebuah kilang maut setelah kereta dinaiki terbabas dan menggelongsor ke cerun sedalam kira-kira empat meter sebelum merempuh sebatang pokok di kawasan ladang kelapa sawit di kilometer 121 Jalan Jerangau-Jabor hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 petang itu, Ummi Baizura Rahmat, 28, berasal dari Kulai, Johor meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Said Ibrahim berkata, setiba di lokasi kejadian, kereta dipandu suami mangsa, Mohd. Taquddin Ramli, 32, dari arah Jerangau menghala ke Kuantan tiba-tiba hilang kawalan.
Bagaimanapun, katanya, suami dan anak mangsa, Nurhafiya Aufa Mohd.Taquddin, 2, hanya cedera ringan.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa yang duduk di bahagian penumpang belakang dalam perjalanan menuju ke rumah mertuanya di Felda Cherul untuk berbuka puasa.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN ONLINE











