KUALA LUMPUR 1 Mei – Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Hussin Awang Ngah menyambut baik pelantikan Datuk Seri Abdul Hamid Bador sebagai Ketua Polis Negara yang baharu.

Beliau malah menjangkakan pelantikan itu terlebih awal kerana yakin Abdul Hamid adalah individu yang paling layak menduduki kerusi nombor satu Polis Diraja Malaysia (PDRM) tersebut.
“Saya yakin dan percaya Perdana Menteri lebih tahu siapa yang lebih layak dan seluruh warga PBPM merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan itu.
“Kami juga mengharapkan agar beliau mampu memulihkan kembali imej PDRM yang terpalit dengan isu tertentu sebelum ini supaya kembali mendapat kepercayaan tinggi daripada masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Abdul Hamid akan menggantikan Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang akan bersara wajib Jumaat ini.
Beliau menjadi perhatian pada 2015 apabila membuat pendedahan mengenai pihak tertentu yang menyembunyikan saksi utama dalam siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), selain mendesak siasatan terus ketika menjawat jawatan Timbalan Pengarah Cawangan Khas (SB) Bukit Aman.
Beliau yang hampir 40 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) pernah dianugerahkan Bintang Bhayankara Nararya, bintang kepahlawanan tertinggi daripada Kerajaan Indonesia selepas membantu kerajaan dan pihak berkuasa republik itu melumpuhkan kegiatan keganasan Jemaah Islamiah (JI) dan elemen pengganas Daesh. – UTUSAN ONLINE











