KOTA BHARU, 21 Mei – Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) tidak akan memilih ahli perniagaan Datuk Seri Amril Aiman Abd Aziz sebagai calon presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sekiranya presiden Kafa ketika ini Bibi Ramjani Ilias Khan melepaskan jawatan terbabit.
Yang Dipertua PBJ Tanah Merah Kamarudin Mohamad berkata walaupun ahli perniagaan terbabit mempunyai hasrat menjadi presiden namun Amril Amin belum berjumpa dengan PBJ-PBJ untuk berbincang.
“Dia bukan calon dari PBJ , dia hanya menawarkan diri untuk menggantikan Bibi Ramjani, kami ahli gabungan Kafa tidak akan melantik dia sebagai calon presiden.
“Kami sudah mempunyai calon sesuai, perbincangan dengan individu itu sudah berlansung dan dia menunjukkan respon positif untuk terlibat dalam memulihkan imej bola sepak Kelantan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sebelum ini, ahli perniagaan itu menawarkan diri untuk mengambil alih tampuk kepimpinan Kafa daripada presiden sekarang, Bibi Ramjani. – BERNAMA











