KUALA LUMPUR 4 Mei – Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) mengalu-alukan pelantikan Datuk Seri Abdul Hamid Bador sebagai Ketua Polis Negara (KPN) yang baharu mengambil alih dari Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, dan percaya beliau adalah pilihan terbaik untuk menerajui pasukan Polis Diraja Malaysia.
Presiden Patriot, Brig. Jen. (B) Datuk Mohamed Arshad Raji mengucapkan tahniah kepada Abdul Hamid sambil berkata, pelantikannya bakal mengubah imej pasukan polis.
“Abdul Hamid mempunyai integriti, kualiti kepemimpinan yang sangat penting untuk menaikkan imej pasukan polis dan meningkatkan moral anggota lelaki dan wanita pasukan beruniform berwarna biru itu.

“KPN dan pasukan polis mempunyai peranan sangat penting dalam membendung arus sentimen agama yang dimainkan oleh ahli politik pembangkang dan mengekalkan kesiapsagaan terhadap ancaman keganasan dan bertindak menumpaskan apa-apa aktiviti yang mencurigakan sebelum elemen-elemen keganasan dapat bertapak,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Terdapat segelintir orang yang membangkitkan isu-isu agama dan memainkan isu yang menyentuh raja-raja untuk memburuk-burukkan kerajaan Pakatan Harapan. Polis memainkan peranan penting untuk membendung isu-isu ini.
“Walaupun Abdul Hamid mempunyai tempoh hanya dua tahun untuk memantapkan pasukan polis, Patriot percaya Abdul hamid yang mendapat kepercayaan dan berintegriti dan yang paling penting mendekatkan diri dengan Tuhan akan mendapat sokongan daripada anggota bawahan dalam menjalankan tugasnya.
“Patriot sentiasa bersedia memberi sokongan kepada KPN Aan pasukan polis apabila perlu. Dalam pada itu, Patriot mengucapkan selamat bersara kepada Tan Sri Mohamad Fuzi, “ kata Mohamed Arshad Raji. – BERNAMA











