KUALA LUMPUR 22 Mei – Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Parti Bumiputera Perkasa (Putra) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) merafak sembah menjunjung kasih ucapan takziah kepada Yang di-Pertuan Agong di atas kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta’in Billah.
Presiden Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, kemangkatan baginda pada bulan Ramadan dan pada hari Nuzul Quran adalah petanda keberkatan kemuliaan Almarhum sebagai seorang raja yang berdaulat.
Katanya, Almarhum juga merupakan seorang sultan yang amat mesra dan dikasihi rakyat.
Berikut merupakan kenyataan penuh beliau:
“Dengan Perasaan Yang Amat Sedih ADT Putra dan ADT Perkasa merafak sembah takziah menjunjung kasih kepada Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Pemangku Sultan Pahang.
Kerabat-kerabat Diraja Negeri Pahang Darul Makmur Di atas Kemangkatan Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah, Sultan yang amat mesra dan amat dikasihi rakyat. Alfatihah.
Kemangkatan Almarhum Sultan Ahmad Shah di bulan Ramadan Al-Mubarak pada pagi Hari Nuzul Quran 22 Mei 2019 adalah petanda keberkatan kemuliaan Almarhum baginda sebagai seorang raja yang berdaulat dan penuh kasih seorang raja dan rakyat.
Pemergian Almarhum sudah pasti ditangisi rakyat Pahang dan rakyat Malaysia seluruhnya.
Keprihatinan Almarhum dengan masalah rakyat menjadi kenangan serta nostalgia rakyat sepanjang masa.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum dan ditempatkan bersama para solihin. Insya Allah. Menjunjung kasih taat setia.” – UTUSAN ONLINE











