Padi oh padi! - Utusan Malaysia

Padi oh padi!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUA isu berkaitan padi digembar-gemburkan sejak belakangan ini. Pertama, mengenai benih padi haram yang dikatakan menjejaskan hasil padi dan ramai petani menanggung kerugian. Benih padi haram mengakibatkan serangan penyakit Hawar Bulir Bakteria (BPB).

Kedua, Perdana Menteri mencadangkan agar padi ditanam pada waktu malam. Cadangan ini menimbulkan pelbagai reaksi. Kebanyakan petani tidak senang dengan cadangan itu, seolah-olah petani-petani sudah tidak sanggup bekerja di bawah terik panas matahari, lalu disuruh beralih bekerja pada waktu malam.

Tidak kira apa cadangan pun, padi tetap ditanam dan sampai musimnya padi dituai. Jarang kita dengar tanah sawah dibiarkan kecuali buat beberapa bulan kerana tanah itu akan dimajukan atau dibangunkan projek lain. Banyak atau tidak hasil padi bergantung kepada penjagaan, modal dan risiko, bukan kerana tanam siang atau malam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ada pendapat mengatakan bahawa akan sampai masanya padi ditanam pada waktu malam. Mungkin ramai menunggu detik waktu itu dan akan melihat perubahan landskap hidup petani. Siang tidur dan malam berada di sawah.

Oleh itu cadangan ini dianggap tidak masuk akal oleh kebanyakan petani. Cadangan ini akan dianggap logik jika padi tidak boleh ditanam langsung pada waktu siang sehingga wujud tanah terbiar kerana tidak cukup masa untuk menanamnya kecuali ditanam pada waktu malam.

Dalam zaman moden ini, menanam padi bukan pakai kuku kambing terbongkok-bongkok cucuk anak semaian dari pagi bawa ke petang.

Zaman sekarang pakai mesin dan alat menabur benih secara terus yang tidak mengambil masa yang lama dan kerja-kerja ini layaknya dilakukan pada waktu siang.

Hendak berpanas pun bukan sampai sebulan. Paling lama dua minggu, itu pun bergantung kepada keluasan tanah yang diusahakan. Kita bimbang jika kerja-kerja di sawah padi dilakukan pada waktu malam.

Maka pekerja asinglah yang akan memonopoli kerja-kerja tersebut kerana mereka sudah terkenal dengan sikap berani menanggung risiko, tidak memilih kerja dan sanggup buat apa saja. Jadi, petani-petani kita tetap tidur kerana malam memang untuk tidur dan orang lain mengambil alih dan melengkapkan kerja kita.

Maka sebaiknya, kerja-kerja menanam padi ini biarlah dilakukan pada waktu siang sahaja kerana petani yang memahami susah payah dalam pekerjaan mereka. Jika mereka kata tanam pada waktu siang tidak ada masalah, teruskan sahaja.

Jika mereka kata kerja di sawah pada waktu malam banyak risikonya, kita mesti menerimanya kerana mereka sudah memahami asam garam hidup sebagai petani.

Kecualilah, kalau padi hendak ditanam di kawasan-kawasan lain terutamanya di bumbung bangunan seperti yang pernah disaran oleh seorang menteri suatu masa dahulu, bolehlah ditanam tidak kira waktu. Di atas bangunan tidak ada ular berbisa yang boleh menyerang petani.

Oleh itu, kawasan-kawasan baharu bagi tanaman padi boleh dicari untuk diusahakan tidak kira masa termasuklah padi huma untuk menambah keluaran padi negara dan mengurangkan kebergantungan beras dari luar negara.

Inilah yang perlu difikirkan semula oleh Kementerian Pertanian dan agensi-agensi di bawahnya. Selain itu, eloklah difikirkan kaedah-kaedah tertentu untuk mengurangkan kesan bencana dan serangan penyakit ke atas tanaman padi supaya hasil padi tetap terjamin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini