KUALA LUMPUR 11 Mei – Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) akui misi memburu pingat emas dalam Sukan SEA 2019 di Manila amat mencabar berikutan banyak acara yang dikurangkan, namun, tetap optimis mampu menjadi penyumbang utama pingat emas buat kontinjen Malaysia.
Pada Sukan SEA 2017, skuad gimnastik negara menjadi salah satu penyumbang pingat emas utama buat kontinjen Malaysia apabila meraih 13 pingat emas daripada 20 acara dipertandingkan, namun, Presiden MGF, Rachel Lau berkata, sasaran awal mereka di Manila ketika ini adalah sekitar tujuh pingat emas, bergantung kepada acara yang bakal dipertandingkan.
“Sasaran kita adalah empat pingat emas dalam acara individu gimrama, dua dalam acara artistik iaitu satu lelaki dan satu bagi kategori wanita.
“Sementara itu, dalam acara berpasukan gimrama, kita meletakkan sasaran pingat emas, namun, masih belum pasti acara berkenaan dipertandingkan atau tidak kerana ketika ini hanya ada tiga negara yang mahu mengambil bahagian. Jika ada empat, maka saya percaya ia pasti dipertandingkan.
“Saya juga sedar kekurangan jumlah acara yang dipertandingkan juga membataskan kami untuk menyumbang lebih banyak pingat emas, namun, kami akan tetap berusaha setiap acara yang disertai mampu menghasilkan keputusan membanggakan buat negara,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.
Pada edisi lalu, Malaysia muncul sebagai juara keseluruhan selepas memungut 144 emas, 91 perak dan 86 gangsa.
Filipina pada Sukan SEA kali ini sebaliknya menggunakan kelebihan selaku tuan rumah untuk menyenaraikan acara kegemaran mereka seperti gusti, kurash, arnis serta sukan tarian. – UTUSAN ONLINE











