Ops Sisih JPJ: 3 bas ekspres gagal patuhi piawaian - Utusan Malaysia

Ops Sisih JPJ: 3 bas ekspres gagal patuhi piawaian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 28 Mei – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri mendapati tiga bas ekspres gagal mematuhi piawaian ditetapkan dalam Op Sisih yang dijalankan sempena Hari Raya Aidilfitri 2019 sejak Rabu lalu.

Pengarah JPJ negeri, Mahasan Mustapa berkata, dalam tempoh tersebut, sebanyak 72 buah bas ekspres telah diperiksa oleh pihaknya seperti keadaan brek, lampu dan tayar selain kemudahan lain seperti tangga keselamatan dan pintu kecemasan.

“Jika tidak lulus pemeriksaan seperti tayar botak, pihak JPJ memberi kelonggaran untuk pengusaha menukarnya dalam tempoh dua minggu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Adalah penting untuk mereka mematuhi piawaian demi keselamatan penumpang yang menaiki bas terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjalankan pemeriksaan sempena Op Sisih di ibu pejabat bas syarikat Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) di Panji, di sini, hari ini

Pemeriksaan itu dilakukan oleh lima pegawai dari JPJ negeri serta Pusat Pemeriksaan Berkomputer (Puspakom).

Yang hadir sama, Pengerusi Eksekutif E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail.

Dalam perkembangan sama, Mahasan berkata, pada tahun lalu, sebanyak 136 bas diperiksa dengan 10 daripadanya gagal memenuhi piawaian.

“Peratusan bas yang gagal didapati semakin menurun tahun ini sekali gus menunjukkan pengusaha bas ekspres telah mengambil inisiatif menambah baik bas masing-masing di samping memberi kerjasama baik kepada JPJ,” katanya.

Sementara itu, Che Ibrahim berkata, bagi menghadapi musim perayaan tahun ini, seramai 180 pemandu bas ekspres syarikat itu telah dipersiapkan mental dan fizikal mereka termasuk mendapat rehat yang cukup, sihat dan bebas bahan terlarang.

“Pihak E- Mutiara turut menyediakan tiga lagi bas tambahan khusus untuk laluan Kuala Lumpur-Kota Bharu bagi memenuhi permintaan yang meningkat mendadak sepanjang musim perayaan ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini