KOTA KINABALU 15 Mei – Sebanyak 27 premis diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sepanjang tempoh tiga hari pelaksanaan ‘Op Pakaian Raya’ yang dijalankan sejak Isnin lepas.
Ketua Penguat kuasa KPDNHEP Sabah V. Ravichandran berkata, menerusi pemeriksaan itu sebanyak lima notis dikeluarkan kepada peniaga membabitkan pengesahan maklumat harga sebelum dan semasa.
Ujarnya, operasi tersebut akan dijalankan sehingga 24 Mei depan bagi memantau isu kenaikan harga pakaian bersempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri.
“Pihak kementerian memandang serius isu tersebut kerana ia merupakan antara penyumbang kepada peningkatan kos sara hidup rakyat.
“Selain itu, sasaran barangan bagi operasi itu merangkumi baju kurung, baju kebaya, tudung, baju Melayu, songkok, samping dan butang baju Melayu,” katanya ketika ditemui selepas pemeriksaan di dua gedung pakaian di Alam Mesra di sini hari ini
Mengulas lanjut, Ravichandran memberitahu, sekiranya mana-mana peniaga didapati melakukan kesalahan mencatut, peniaga boleh didakwa di mahkamah.
“Jika sabit kesalahan peniaga boleh dikenakan denda mengikut Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 iaitu mengambil keuntungan tinggi yang tidak munasabah.
“Selain itu, bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 bagi kesalahan pertama dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM1 juta dan orang perseorangan pula, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali,”jelasnya.-BERNAMA











