Nilai BSH 2019 fasa kedua ikut kategori pendapatan - Utusan Malaysia

Nilai BSH 2019 fasa kedua ikut kategori pendapatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA- Keluarga berpendapatan isi rumah RM2,000 ke bawah akan menerima RM300 menerusi pembayaran fasa kedua Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 yang akan dibuat pada hari ini.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, sebanyak RM150 akan dibayar kepada keluarga berpendapatan RM2,001 hingga RM3,000 manakala golongan berpendapatan RM3,001 hingga RM4,000 akan menerima RM100.

“Kadar tambahan sebanyak RM120 bagi setiap orang anak berumur 18 tahun 
ke bawah dan terhad kepada empat orang anak kecuali anak OKU yang tidak dihadkan 
umur mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bayaran kadar tambahan ini akan dibuat secara sekali gus pada pembayaran fasa kedua bantuan ini,” katanya di sini hari ini.

Kementerian Kewangan berkata, bagi permohonan baharu yang tidak menerima bayaran fasa pertama sebanyak RM300, bayaran berkenaan akan disekalikan dalam pembayaran fasa kedua mengikut nilai kelayakan kategori BSH 2019.

“Secara ringkasnya, sebagai contoh sekiranya Encik Ali berpendapatan di bawah 
RM2,000 dan mempunyai empat orang anak yang layak, beliau akan menerima jumlah keseluruhan RM1,480.

“Jumlah itu meliputi pembayaran sebanyak RM300 pada fasa pertama yang dibuat Januari lalu dan RM780 pada fasa kedua,” katanya.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan kerajaan akan membuat pembayaran BSH fasa kedua mulai Selasa depan kepada hampir 3.6 juta penerima di seluruh negara melibatkan anggaran peruntukan kewangan sebanyak RM1.42 bilion.

Sementara itu, Kementerian Kewangan berkata, untuk memastikan program BSH 2019 disasarkan kepada individu yang benar-benar layak, tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai 1 Julai hingga 15 Ogos depan.

“Dengan adanya proses rayuan ini, sebahagian daripada yang tidak layak masih diberi ruang untuk mengemukakan rayuan berserta dokumen berkaitan untuk diverifikasi semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri,” katanya.

Orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2747 serta e-mel kepada  [email protected] jika terdapat sebarang pertanyaan lanjut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini