LONDON 27 Mei – Tidak banyak yang dapat dilaporkan tentang Newcastle United berhubung hasrat Mike Ashley bersedia menjual kelab tersebut.
Ketua The Toon itu sebelum ini pernah menyatakan kesediaan menamatkan tempohnya bersama Tyneside selama 12 tahun, selepas meletakkan kelab itu untuk dijual, dua tahun lalu.
Kini, Ashley mendakwa dia sanggup untuk berundur dan bersedia menerima ‘durian runtuh’ sebanyak 350 juta pound (RM1.86 bilion) selepas bersetuju menjual Newcastle kepada sepupu pemilik Manchester City, Sheikh Mansour iaitu Sheikh Khaled Zayed Al Nehayan.
Media Britain, The Sun mendakwa kontrak telahpun ditandatangani dan dihantar kepada Liga Perdana, yang mana akan menyaksikan Sheikh Khaled, ahli kepada keluarga diraja Abu Dhabi, mengambil alih kelab tersebut.
Sheikh Khaled mendakwa pihaknya bersedia untuk menyalurkan sokongan kewangan kepada Newcastle, bagi mengambil alih sepenuhnya kelab tersebut dan mengembalikan kegemilangan mereka sebagai pesaing gelaran Liga Perdana Inggeris.
Dia juga dikhabarkan bersedia untuk mengikat pemenang pengurus Liga Juara-Juara, Rafa Benitez dengan kontrak baharu. Bagaimanapun, difahamkan urusan penjualan itu yang hampir termeterai, masih ada beberapa isu yang perlu diselesaikan sebelum pengambilalihan dilengkapkan sepenuhnya.
Ketua Newcastle ketika dihubungi berhubung laporan perjanjian yang telahpun dimeterai, hanya membalas “tiada komen”. Liga Perdana, hari ini, turut memberikan jawapan sama ketika diminta mengulas mengenai isu berkenaan.
Sheikh Khaled sebelum ini pernah mengemukakan tawaran sebanyak 2 bilion pound (RM10 bilion) untuk membeli Liverpool daripada pemilik kelab, Fenway Sports Group.
Liverpool mengesahkan pertemuan telah diadakan di New York antara pengerusi, Tom Werner dan Midhat Kidwai, seorang pengarah urusan kepada Sheikh Khaled. Namun, kelab itu berkata: “FSG secara jelas dan konsisten bahawa kelab bukan untuk dijual.” – AGENSI











