Nak pinjam RM35,000, hilang RM32,250 - Utusan Malaysia

Nak pinjam RM35,000, hilang RM32,250

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 5 Mei – Seorang kerani mengalami kerugian RM32,250 selepas terjerat dengan tipu muslihat pinjaman wang tidak wujud yang ditawarkan menerusi laman Facebook dalam kejadian di Sibu, Sarawak.

Portal Utusan Borneo melaporkan, Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintenden Martin Koo berkata, mangsa wanita berusia 41 tahun terbabit tertarik dengan tawaran pinjaman syarikat berkenaan yang mendakwa boleh memberi pinjaman sebanyak RM35,000 menerusi Facebook pada 19 April lalu.

“Selepas menekan butang ‘like’ pada hantaran tersebut, pengadu telah menerima pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp pada 25 April.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pengadu yang bersetuju dengan tawaran pinjaman tersebut diminta membuat pembayaran ke dalam akaun yang diberi,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, sejak 27 April sehingga 2 Mei, mangsa telah membuat pembayaran sebanyak RM32,250 melalui 16 transaksi ke dalam tiga akaun berbeza kononnya bagi tujuan kos guaman, keselamatan, insurans dan pembukaan akaun.

“Pengadu merasa diperdaya apabila diminta untuk membuat pembayaran sebanyak RM8,000 lagi. Sehingga laporan dibuat pengadu tidak ada menerima wang pinjaman yang dijanjikan oleh pihak syarikat dikenali sebagai Al-Mufawadhah itu,” ujarnya.

Menurutnya, modus operandi suspek ialah memperdayakan mangsa untuk menyerahkan wang bagi tujuan mendapatkan pinjaman yang tidak wujud dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini