BUTTERWORTH 26 Mei – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan beliau bersedia mempertimbangkan untuk berdebat dengan mana-mana pemimpin lain pada masa depan sekiranya dicabar berbuat demikian.
Bagaimanapun, katanya, buat masa ini, beliau tidak mempunyai sebarang keputusan berhubung isu debatnya dengan Lim Kit Siang selepas Penasihat DAP berkenaan menarik diri.
Katanya, beliau akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang yang kuat sekali pun tidak dapat berdebat dengan Kit Siang meskipun cabaran debat itu disuarakan sendiri Kit Siang sebelum menarik diri.
“Debat itu bukan saya yang cadangkan, jadi saya tidak ada apa-apa keputusan mengenainya untuk masa akan datang (selepas Kit Siang menarik diri).
“(Tetapi) kalau ada sesiapa mahu mencabar saya, saya fikirlah dulu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan barisan kepemimpinan Badan Perhubungan UMNO negeri ini di sini petang ini.
Sebelum ini, Kit Siang mengumumkan menarik diri daripada berdebat dengan Najib atas alasan bimbang program itu akan bertukar menjadi konflik pertembungan kaum antara Melayu dan Cina.
Ia susulan keputusan Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan pada Selasa lalu yang menyahut cabaran debat Kit Siang itu dan mencadangkan diadakan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri dan disiarkan secara langsung.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai sambutan hangat orang ramai terhadapnya dalam setiap program turun padang yang diadakan, Najib berkata, beliau sendiri masih cuba untuk memahami keadaan tersebut yang disifatkan sebagai luar biasa.
“Mungkin ketika saya menjadi Perdana Menteri, saya terikat dengan protokol keselamatan dan rakyat tidak boleh terlalu mendekati, jadi mereka tidak suka situasi sebegitu dan menjauhi pemimpin,” katanya.
Ini merupakan kali pertama Najib mengadakan program bertemu orang ramai di negeri ini selepas pilihan raya umum lalu bermula di Bagan dekat sini kira-kira pukul 1 pagi tadi yang mendapat sambutan hangat sehingga ada yang menunggu sejak pukul 10 malam.
Selepas mesyuarat bersama kepemimpinan UMNO negeri pula, beliau mengunjungi bazar Ramadan di Bayan Baru sebelum mengakhiri lawatan ke negeri ini dengan menyampaikan sumbangan dan berbuka puasa di surau An Nur Hidayah, Sungai Ara. – UTUSAN ONLINE











