KUALA LUMPUR 9 Mei – MyHSR Corporation Sdn. Bhd. (MyHSR Corp) hari ini memanggil tender untuk melantik perunding penasihat komersial (CAC) bagi melaksanakan langkah semakan semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (KL-SG HSR).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Nur Ismal Mohamed Kamal berkata, perunding yang dilantik akan perlu membangunkan model perniagaan baharu yang akan menghasilkan kos kitaran hayat projek optimum, serta membangunkan unjuran kadar kepenggunaan dikemas kini dan kemas kini penilaian faedah yang akan dibawa projek itu kepada Malaysia.
Beliau berkata tender itu merupakan tender kedua berkaitan langkah semakan semula projek KL-SG HSR selepas tender pertama untuk melantik perunding penasihat teknikal (TAC) dilancarkan pada April 2019.
“Dengan pelantikan TAC dan CAC itu nanti, langkah semakan semula projek secara menyeluruh akan disiapkan.
“Kemudiannya satu laporan akan disediakan dan diserahkan kepada kerajaan, sebelum berakhirnya tempoh pengantungan pada Mei 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Nur Ismal berkata, tender TAC telah mendapat sokongan dan minat menggalakkan daripada pasaran dan dijangka selesai menjelang Aidilfitri.
Sehubungan itu, beliau berkata semua firma yang mempunyai pengalaman relevan digalakkan untuk mengambil bahagian dalam tender CAC berikutan dapatan daripada semakan semula itu akan membantu MyHSR Corp untuk menggariskan landasan betul untuk projek itu.
“Kami berharap akan mendapat sokongan padu serupa daripada pasaran untuk tender ini,” katanya.
Mohd Nur Ismal berkata maklumat lanjut berhubung tender CAC boleh didapati di laman web MyHSR Corp di http://www.myhsr.com.my/tenders/kl-sg-hsr-project mulai hari ini.
Kerajaan Malaysia dan Singapura sebelum ini bersetuju untuk menggantung pembinaan projek KL-SG HSR pada 5 September 2018 sehingga 31 Mei 2020 untuk mencari kaedah terbaik untuk memastikan daya maju projek itu.
Susulan itu, kerajaan Malaysia menyemak semula projek itu dengan MyHSR Corp untuk membolehkannya mengenal pasti opsyen untuk mengurangkan kos, seperti menyemak semula dan mengoptimumkan penjajaran, lokasi stesen dan model perniagaan. – BERNAMA











