LONDON 21 Mei – Pemain tenis Britain, Andy Murray melahirkan keyakinan untuk kembali beraksi pada kejohanan kompetitif dengan memberi bayangan Wimbledon sebagai destinasi kemunculan pertamanya.
Mengakui mengambil inspirasi daripada pemain beregu Amerika Syarikat (AS), Bob Bryan yang berjaya kembali beraksi selepas kecederaan pinggul yang teruk, Murray, 32, juga membayangkan akan beraksi dalam acara beregu di Kelab Seluruh England itu nanti.
Sebelum ini, juara dua kali perseorangan Wimbledon itu pernah menyuarakan hasrat untuk bersara Januari lalu selepas hampa dengan kecederaan pangkal paha yang dianggap sukar untuk pulih.
“Acara beregu paling berpotensi. Ketika ini peluang untuk acara perseorangan agak tipis. Jika saya selesa bermain tanpa rasa sakit, ada harapan untuk bermain. Selepas itu baharu fikir untuk cuba acara perseorangan,” katanya.
Murray berehat panjang selepas menjalani pembedahan empat bulan lalu dan sehingga ini belum bersedia untuk bermain secara aktif walaupun sudah bebas daripada kesakitan ketika bermain.
“Segalanya baik sahaja setakat ini. Saya lebih banyak bermain golf dan ia cukup selesa termasuk ketika saya memukul bola dalam gelanggang tenis. Jika semuanya kekal baik, baharu saya bermain acara perseorangan semula,” tegasnya.
Murray mempunyai masa sehingga 18 Jun untuk mendapatkan tiket wildcard ke Wimbledon tahun ini memandangkan dia kini menduduki ranking ke-218 dunia berikutan sudah lama tidak beraksi. – AFP











