Mufti Perlis diugut tumbuk  - Utusan Malaysia

Mufti Perlis diugut tumbuk 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin membuat laporan polis selepas diugut untuk dicederakan menerusi kiriman mesej daripada pengguna akaun Facebook bernama Sandev Sandev pada semalam.

Mesej berbaur ugutan itu diterima ketika Mohd. Asri berada di rumahnya di Padang Besar dekat sini kira-kira pukul 6 petang.

Ketua Polis negeri, Datuk Noor Mushar Mohd. berkata, pengguna akaun Facebook itu mengugut untuk menumbuk Mohd. Asri sehingga cedera.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pengguna akaun tersebut juga meminta Mufti Perlis memberikan alamat rumah sebelum dia bertindak pergi mencarinya selain turut memberikan satu nombor telefon untuk dihubungi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, susulan itu, Mohd. Asri membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan diri dan keluarganya.

“Kita sedang mengesan pengguna akaun Facebook berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998,” tambahnya.

Mufti Perlis sebelum ini mempersoalkan penahanan Ketua Pegawai Eksekutif One Centre Malaysia Perlis, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu yang juga seorang pendakwah kerana didakwa menghina agama Hindu.

Kata Mohd. Asri, penahanan itu tidak wajar kerana Muhammad Zamri hanya berkongsi pengalaman hidupnya di hadapan umat Islam di sebuah masjid secara tertutup baru-baru ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini