LONDON 21 Mei – Pemain tengah Arsenal kelahiran Armenia, Henrikh Mkhitaryan terpaksa diketepikan daripada final Liga Europa menentang Chelsea di Baku, Azerbaijan bukan disebabkan cedera tetapi atas faktor keselamatan.
Armenia dan Azerbaijan sedang berdepan hubungan politik yang tegang sejak 1990-an lagi berikutan perebutan untuk menguasai satu wilayah yang dipanggil Nagorny Karabakh.
Berikutan ketegangan yang masih belum reda itu, Arsenal mengambil keputusan drastik tersebut walaupun Duta Azerbaijan di United Kingdom, Tahir Taghizadeh memberi jaminan akan keselamatannya.
Malah Mkhitaryan sendiri tidak percaya akan jaminan yang diberikan itu dan hanya mengucapkan selamat maju jaya kepada rakan-rakan sepasukannya di Arsenal.
“Kami amat kecewa untuk mengumumkan Henrikh Mkhitaryan tidak akan bersama kelab ini untuk final Liga Europa menentang Chelsea. Ini selepas berbincamng dengan pemain itu dan keluarganya,” kata Arsenal dalam satu kenyataan. – AFP











