KUALA LUMPUR 26 Mei – Tenaga Nasional Berhad (TNB) sekali lagi mengulangi pendirian bahawa meter pintar yang dipasang di Melaka mencatatkan bacaan tepat dan bukan menjadi penyebab kepada kenaikan bil seperti yang tular dalam media sosial.
TNB dalam kenyataan memberitahu, semakan terhadap aduan pengguna mendapati masalah berkenaan berpunca daripada kesilapan semasa pemasangan meter, meter terdahulu tidak efisien serta tidak merekodkan bacaan tepat.
Katanya lagi, selain itu, faktor usikan pada meter lama dan faktor-faktor berkaitan pengeluaran bil juga berkemungkinan menjadi penyebab kepada masalah berkenaan.
“Sehubungan itu, pengguna berkelapangan yang ingin menyemak bil elektrik mereka secara bersemuka dengan pegawai khidmat pelanggan TNB disarankan ke Hari Bersama Pelanggan TNB di Jalan Banda Kaba pada 28 hingga 31 Mei ini mulai pukul 8.30 pagi hingga 4.00 petang.
“Kami sedia memberikan maklumat dan langkah penyelesaian termasuk mengkreditkan lebihan bayaran dalam bil mereka jika lebihan caj berlaku,” menurut TNB hari ini.
Baru-baru ini, tular dalam media sosial dakwaan berlaku kenaikan kadar bil elektrik yang tinggi ekoran penggunaan Smart Meter diperkenalkan TNB di Melaka. – UTUSAN ONLINE











