Menyamar individu berpengaruh untuk godam akaun VIP - Utusan Malaysia

Menyamar individu berpengaruh untuk godam akaun VIP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA – Insiden pengambilalihan akses kepada akaun yang didaftarkan atas nombor telefon milik individu berprofil tinggi menjurus kepada penipuan dengan melakukan penyamaran sebagai individu berpengaruh.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan berkata, penggodam cuba mempengaruhi mangsa untuk memuat turun dan memasang aplikasi pemesejan segera seperti Telegram dan Viber ke dalam sistem telefon mangsa. 

Menurutnya, mangsa seterusnya akan diminta untuk berkongsi kod pengesahan yang dihantar kepada telefon milik mangsa. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perkongsian kod pengesahan tersebut akan membuka ruang kepada suspek untuk mengambil alih akaun berkenaan serta mendapati akses kepada kandungan yang terhubung-kait (synchronized) dengan akaun tersebut seperti senarai hubungan (contact list). 

“Ini membolehkan suspek menggunakan akaun yang dikompromi untuk membuat penyamaran dan memperdaya penerima dalam senarai tersebut dengan menghantar pesanan palsu,” katanya di sini hari ini. 

Sebelum ini, beberapa portal melaporkan akaun Telegram milik Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad digodam.

Sementara itu, SKMM berkata, pesanan palsu itu boleh memberi impak negatif kepada pemilik nombor termasuk melibatkan identiti mereka dalam kegiatan jenayah.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai diingatkan supaya memastikan aplikasi-aplikasi dalam telefon mereka sentiasa dikemas kini. 

“Jika ada menerima panggilan atau mesej yang mencurigakan daripada pihak yang 
mengaku sebagai individu berpengaruh, buat pengesahan terlebih dahulu.

“Elakkan juga daripada berkongsi kod pengesahan yang diterima supaya aplikasi tidak dapat diambil alih oleh pihak ketiga,” katanya.

Dalam perkembangan sama, SKMM berkata, pihaknya sedar bahawa modus operandi penipuan dalam talian akan berubah mengikut peredaran masa dan akan memaklumkan kepada orang ramai dari semasa ke semasa supaya mereka mengambil langkah berjaga-jaga.

“Sekiranya menjadi mangsa, laporkan dengan segera kepada pihak polis untuk penelitian dan tindakan lanjut.

“Pihak SKMM juga terus memperkasakan orang ramai melalui inisiatif Klik Dengan Bijak yang memberi penekanan kepada pengguna Internet tentang kepentingan kawal selia kendiri,” katanya. K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini