BUDAYA berbuka puasa di luar sudah menjadi amalan masyarakat pada masa ini memandangkan ramai yang sibuk bekerja dan tidak sempat memasak di rumah. Oleh itu tidak hairanlah jika sebahagian daripada mereka berbuka di luar sepanjang dalam bulan Ramadan ini.
Ramai yang mengambil kesempatan untuk berbuka puasa bersama ahli keluarga, sanak saudara dan rakan sekerja di hotel atau restoran yang menyediakan bufet Ramadan.
Bagi penggemar hidangan Asia Tenggara mereka boleh mengunjungi restoran The Majapahit, Marc Residence Kuala Lumpur yang menawarkan 80 hidangan. Menariknya, semua menu tersebut merupakan hasil air tangan ketua tukang masak yang berasal dari Indonesia, Chef Pak Isan Santibi.
Terletak berdekatan pusat beli-belah, KLCC, sudah pasti restoran ini menjadi pilihan warga kota untuk berbuka puasa yang tiada kesempatan pulang ke rumah.
Restoran ini turut menyajikan ‘makanan jalanan’ Asia Tenggara versi unik dalam bentuk ‘sajian kecil gaya Tapas’ atau dikenali dengan nama SEA-PAS (Southeast Asian Tapas).
Persis kegemilangan kerajaan Majapahit yang menjadi ilham kepada restoran itu sama hebatnya dengan menu disediakan oleh Cef Pak Isan.
Lebih 26 tahun berjuang dalam bidang kulinari, restoran dipimpin oleh Cef Pak Isan ini menawarkan pelbagai interpretasi setiap makanan yang ditawarkan.
Restoran ini cukup unik kerana pengunjung boleh merasai sendiri persamaan dan perbezaan masakan Asia Tenggara popular yang dikenali.
Pak Isan berkata, daripada SEA-PAS ke pelbagai juadah sup enak, pengunjung juga boleh menikmati hidangan salad menarik, mi, nasi dan sajian utama yang terdiri daripada ayam, daging lembu, makanan laut disaluti rempah ratus Asia Tenggara.
Malah pengunjung juga berpeluang menikmati pengalaman ‘bersantap’ dalam suasana tropika bertemakan kemewahan dengan harga berpatutan sesuai dengan popularitinya serta sepadan dengan sejarah kerajaan Majapahit yang gilang-gemilang. Untuk maklumat lanjut tentang menu dan promosi Ramadan, boleh layari laman Facebook: www.facebook.comThe Majapahit.











