KUALA LUMPUR 11 Mei – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyediakan kemudahan tong pengasingan sisa makanan di 13 lokasi bazar di sekitar Petaling Jaya, Selangor sepanjang Ramadan ini.
MBPJ dalam kenyataan di sini berkata, kemudahan itu sebagai galakan kepada orang ramai terutama peniaga bazar untuk mengasingkan sisa makanan yang dijual, sekali gus menjayakan kempen kitar semula.
“Tong pengasingan sisa makanan ini disediakan di 13 lokasi bazar iaitu di Seksyen 14/20, PJU 10/1 Damansara Damai, Seksyen 17/1A, Kg Lindungan PJS 6/3, Desa Mentari PJS 6/5 dan Tapak Pasar Malam Taman Medan PJS 2D,
“Kawasan lain ialah Taman Sri Manja, SS8 Sg Way, Pangsapuri Meranti Bandar Sri Damansara, Seksyen 7 Kota Damansara, Seksyen 4 Kota Damansara, SS 6/1 Kelana Jaya dan Lembah Subang,” katanya.
Selain itu MBPJ berkata, pihaknya turut mengadakan Kempen 3R Kitar Semula bagi tujuan mengumpul minyak masak terpakai sempena Ramadan.
Katanya, kempen itu diadakan selama sehari di Tapak Bazar Ramadan Pangsapuri Vista di PJU 10/1 Damansara Damai. – UTUSAN ONLINE











