PUTRAJAYA 29 Mei – Program ‘My Best Buy’ (MBB) Pra-Aidilfitri 2019 menawarkan produk pertanian terpilih pada potongan harga antara lima hingga 20 peratus berbanding harga pasaran.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehuddin Hassan berkata, program yang dilaksanakan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu akan berlangsung di 18 lokasi seluruh negara sehingga 4 Jun depan.
Katanya, seramai 27,000 pengunjung dijangka mengunjungi program tersebut yang menawarkan produk segar seperti hasil laut, ayam, daging serta barangan runcit seperti minyak, bawang, tepung dan gula.
“Program ini merupakan antara langkah mempromosikan program MBB yang telah dilaksana sejak 2014, yang digunakan pengeluar bagi menjual terus produk mereka kepada pengguna.
“Kita menyasarkan nilai keseluruhan jualan bernilai RM540,000 sepanjang program ini berlangsung dengan penjimatan yang diperolehi pengunjung sebanyak RM70,200 apabila berbelanja di MBB Pra-Aidilfitri,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program berkenaan di Wisma Tani, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Lembaga pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak.
Mengulas lanjut Mohd. Salehuddin berkata, MBB Pra-Aidilfitri mengetengahkan enam konsep utama kepada pengunjung iaitu jualan produk ladang kontrak, industri asas tani, sejuk beku, barangan runcit, pakaian untuk persiapan Aidilfitri serta barangan perhiasan rumah. – UTUSAN ONLINE











