IPOH 1 Mei – Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) menafikan dakwaan bahawa kerajaan negeri akan menyerahkan tapak bersejarah Lapangan Terbang Taiping kepada pemaju swasta untuk pembangunan bercampur.
MB Inc dalam satu kenyatannya memaklumkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah membatalkan kelulusan berkenaan pada 16 Januari 2019.
Malahan katanya, keputusan itu telah dimaklumkan oleh Pengarah Tanah dan Galian Perak kepada pengurusan baharu MB Inc melalui surat bertarikh 17 Januari 2019.
“Untuk makluman, pentadbiran terdahulu telah meluluskan tanah seluas 10 hektar di Lapangan Terbang Taiping di Tekah kepada pihak pengurusan MB Inc sebelum ini bagi tujuan pembangunan dengan kerjasama pemaju swasta.
“Cadangan pembangunan bercampur itu telah diluluskan secara prinsipal oleh pentadbiran terdahulu dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan bertarikh 28 Mac 2018,” kata kenyataan tersebut di sini hari ini.
Sehubungan itu, MB Inc menjelaskan bahawa dakwaan lapangan terbang tersebut bakal diserahkan kepada pemaju seperti dilaporkan dalam sebuah portal adalah tidak benar sama sekali. – UTUSAN ONLINE











