JOHOR BAHRU – Pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menemui mayat dipercayai seorang daripada dua nelayan yang hilang ketika menjaring ikan di Pulau Pisang, Pontian dekat sini pada Khamis lalu terapung di perairan Tanjung Laboh, Batu Pahat dekat sini pagi ini.
Mayat itu ditemui pada pukul 8.15 pagi terapung di kedudukan kira-kira 1 batu nautika barat daya Tanjung Laboh, Batu Pahat.
Maritim Malaysia (APMM) dalam satu kenyataan berkata, mayat itu ditemui pasukan SAR dari Zon Maritim Batu Pahat sebelum dibawa ke jeti Zon Maritim Batu Pahat.
“Proses pengecaman akan dilakukan oleh pihak keluarga mangsa,” katanya.
Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang Khamis lalu, Mohd. Yusni Mohd. Yusof, 43, dan sepupunya, Mohd. Khair Ismail, 38, pergi ke pulau berkenaan untuk menjaring ikan sebelum tidak pulang semula ke rumah masing-masing.
Keluarga mereka yang bimbang dengan keadaan tersebut membuat laporan polis sebelum operasi dan gerakan mangsa dilakukan melibatkan pihak maritim, Angkatan Pertahanan Awam (APM), bomba, polis marin dan nelayan setempat. – K! ONLINE











