KUALA LUMPUR 29 Mei 2019- Empat warga asing ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) dipercayai masuk ke negara ini secara haram selepas gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri di kawasan laut Tinagat di Tawau, Sabah semalam.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4, Asisten Komisioner Mohamed Pajeri Ali berkata, keempat-empat lelaki berusia 19 hingga 28 tahun ditahan dalam Op Gelora khas selepas dilihat berada dalam perahu tidak berdaftar dalam keadaan mencurigakan.
“Perahu tersebut ditahan ketika sedang menghala ke kawasan perumahan setinggan atas air di Batu 4 Tawau. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati empat lelaki warga asing berada dalam perahu berkenaan dan kesemua mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk berada di negara ini.
“Pengakuan awal turut mendapati mereka cuba mendapatkan bekalan minyak petrol dan dipercayai untuk dibawa ke Filipina,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, menurut Mohamed Pajeri, kesemua tangkapan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut.
Tambah beliau, pihaknya juga merampas sebuah bot dan tiga unit enjin pam yang dianggarkan bernilai RM 6,500.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.-UTUSAN ONLINE











