Maritim Malaysia tahan tujuh PATI Filipina di Lahad Datu - Utusan Malaysia

Maritim Malaysia tahan tujuh PATI Filipina di Lahad Datu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAHAD DATU 2 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Lahad Datu menggagalkan cubaan tujuh pendatang asing tanpa izin warga Filipina memasuki negara ini selepas ditahan di selatan Sungai Merah Perairan Felda Sahabat dekat sini, malam tadi.

Pengarah Zon Maritim, Komander Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, pihaknya yang menjalankan tugas rondaan di kawasan tanggungjawab mengesan sebuah bot mencurigakan sebelum menahannya pada pukul 9 malam.

“Pemeriksaan awal mendapati, bot itu tidak berdaftar dan didalamnya terdapat seorang juragan serta enam penumpang dipercayai warganegara Filipina berumur antara setahun hingga 60 tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Muhaimin berkata kesemua mereka menaiki bot daripada Pulau Sibutu, Filipina pada jam 6 petang dan cuba menyusup masuk ke Lahad Datu.

“Mereka dipercayai berada di laut selama tiga jam sebelum ditahan bot peronda Maritim Malaysia,” katanya.

Menurutnya, bot dan kesemua penumpang di bawa ke Pos Maritim Malaysia, FELDA Sahabat untuk siasatan lanjut.

Katanya, Maritim Malaysia akan terus menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang di perairan Lahad Datu.

Beliau berkata, sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi terus di talian 089-885727 pusat operasi Maritim Malaysia Lahad Datu atau MERS 999 untuk sebarang kejadian kecemasan. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini