LONDON 9 Mei – Selepas Liverpool dan Tottenham mempamer kebangkitan hebat untuk menempah pertemuan sesama sendiri dalam final Liga Juara-Juara, peminat bola sepak England kini teruja untuk melihat kelab negara itu meneruskan dominasi di pentas Liga Europa.
Arsenal dan Chelsea berpotensi melengkapkan musim gemilang bola sepak England apabila turun beraksi dalam separuh akhir kedua kejohanan kelas kedua kelab Eropah itu esok (3 pagi waktu Malaysia).
Arsenal mengatasi Valencia 3-1 dalam aksi pertama minggu lalu dan akan bertandang ke Sepanyol dengan misi mengelak kekalahan 0-2 atau lebih buruk.
Chelsea yang terikat 1-1 ketika menentang Eintracht Frankfurt pada separuh akhir pertama akan menerima kunjungan kelab Jerman itu di Stamford Bridge.
Jika Arsenal dan Chelsea berjaya mengatasi halangan masing-masing, ia bukan sahaja bakal menampilkan empat kelab England di pentas akhir dua kejohanan utama kelab Eropah, malah menyaksikan penguasaan tiga kelab London.
Tottenham, Arsenal dan Chelsea kesemuanya berpangkalan di London.
Malah, ia akan terpahat sebagai sejarah terhebat buat England kerana belum pernah ada empat kelab negara itu mendominasi pentas akhir saingan Eropah pada musim yang sama.
Kali pertama dan terakhir dua kelab England bertembung sesama sendiri dalam final Liga Juara-Juara adalah ketika Manchester United mengalahkan Chelsea menerusi penentuan sepakan penalti pada 2008.
Kali pertama dan terakhir dua kelab negara itu beraksi dalam pentas akhir Liga Europa pula adalah pada 1972 apabila Tottenham mengalahkan Wolverhampton 2-1. Saingan ketika itu dikenali sebagai Piala UEFA.
Final Liga Juara-Juara 2019 akan berlangsung di Stadium Wanda Metropolitan, Madrid pada 2 Jun.
Stadium Olimpik Baku di Azerbaijan pula menjadi venue perlawanan akhir Liga Europa pada 29 Mei ini. – AGENSI











