KUALA LUMPUR 1 Mei – Malik Streams Corporation Sdn. Bhd., sebuah syarikat hartanah dan produksi perfileman mengembangkan perniagaan di selatan tanah air dengan membuka cawangan premis pengurup wang kelimanya di South Key Mid Valley The Mall, Johor Bahru hari ini.
Pengarah Urusannya, Datuk Abdul Malik Dasthigeer berkata, perasmian pembukaan cawangan itu disempurnakan menerusi syarikat subsidarinya, Malik Maju Sdn. Bhd.
Pada masa sama, kata beliau, pihaknya sedang mengenal pasti lokasi sesuai untuk membuka gedung borong menjual barangan di Senai.
Empat cawangan premis pengurup wang syarikat itu yang sedia ada terletak di pusat beli-belah Subang Parade, Pearl Point, KL City Jalan Silang dan Mid Valley Kuala Lumpur.
Malik Maju Sdn. Bhd menjalankan perniagaan perkhidmatan wang berlesen di negara ini sejak 2007.
“Majlis perasmian cawangan kelima dengan lima pekerja ini disempurnakan secara besar-besaran di South Key Mid Valley The Mall yang juga baru dibuka 23 April lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Malik Streams Corporation Sdn. Bhd. merupakan syarikat produksi perfileman Hindi dan Tamil terbesar di Malaysia dan berjaya membawa masuk beberapa filem Hindi dan Tamil bertaraf ‘box office’ ke dalam negara.
Antara filem yang dibawa masuk oleh Abdul Malik adalah Kabali, Lingga, Singam 3 dan Dilwale Petta. – UTUSAN ONLINE











