KUALA LUMPUR, 24 Mei – Skuad hoki wanita negara bakal turun dengan misi penting dalam Kejohanan FIH Siri Akhir Wanita bermula 8 hingga 16 Jun ini di Banbridge, Ireland untuk memburu kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 malah kesemua pemain juga sudah sedia mengorbankan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Dalam masa sama skuad wanita negara juga bakal cuba melakar sejarah layak ke Sukan Olimpik buat kali pertama dalam 40 tahun, di mana skuad Malaysian Tigress tidak pernah layak sejak acara hoki wanita mula dipertandingkan pada edisi 1980 di Moscow.
Skuad Malaysian Tigress sedar untuk memburu slot ke Sukan Olimpik mereka perlu meraih dua tempat teratas dalam kejohanan yang disertai oleh lapan pasukan untuk layak ke pusingan kelayakan terakhir ke Tokyo 2020 pada Oktober dan November ini.
“Kita kurang tekanan kerana pasukan kita menduduki ranking kelima daripada lapan pasukan yang bertanding.
“Tanpa tekanan ke atas pemain, mungkin kita boleh mendapat sesuatu dari kejohanan ini sebab ia sangat mustahak,” kata Muhammad Dharma. – BERNAMA











