KUALA LUMPUR 9 Mei – Skuad muda negara menerima pengajaran paling berguna hari ini apabila memulakan kempen Kejuaraan AFF Bawah 15 (B-15) Perempuan dengan kekalahan 0-4 kepada Laos di Chonburi, Thailand.
Skuad bimbingan Mohd. Zerry Nazeri dibolosi empat kali pada separuh masa pertama dalam saingan Kumpulan B di Stadium IPE 1, Chonburi.
Hatrik Pe pada minit ke-21, 30 dan 35 memastikan Laos memulakan kempen dengan kanan, sebelum Chinda Sihalath melengkapkan kemenangan besar Laos pada minit ke-38.
Memasuki babak kedua, pemain Malaysia mula mendapat rentak dan lebih berkeyakinan dengan tidak membenarkan gawang mereka terus dibolosi.
Pasukan negara kini akan menentang Kemboja dalam aksi kedua esok, sebelum berdepan cabaran getir juara bertahan, Thailand dalam perlawanan terkahir Kumpulan B, Rabu ini.
Dua pasukan teratas layak ke separuh akhir. – UTUSAN ONLINE











