KUALA LUMPUR 7 Mei – Malaysia menerima guna teknologi digital terutama 5G secara sepenuhnya untuk melonjakkan status menjadi negara berpendapatan tinggi, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Beliau berkata Malaysia, bagaimanapun, menyedari risiko daripada gangguan digital yang akan menyebabkan kehilangan peluang pekerjaan bagi sektor tradisional yang tidak dapat digantikan dengan peluang pekerjaan sektor baharu.
Justeru itu, Malaysia tidak menerima pemusnahan kreatif, malah peluang pekerjaan baharu harus dicipta melalui insentif dan bantuan pendapatan bagi menggantikan pekerjaan yang hilang akibat gangguan digital.
Lim berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama bertema ‘Unlocking the Potential of the Digital Economy’ (Memanfaatkan Potensi Ekonomi Digital) di Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kumpulan Bank Dunia (WBG) yang berlangsung pada 11 hingga 13 April lepas di Washington DC, Amerika Syarikat.
Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan berkata beliau telah mengetuai delegasi Malaysia bagi mesyuarat tersebut selain mewakili Kumpulan Mengundi Asia Tenggara (SEAVG) yang dianggotai 11 negara terdiri daripada Brunei Darussalam, Fiji, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Nepal, Singapura, Thailand, Tonga dan Vietnam. – BERNAMA











