KUALA LUMPUR 27 Mei – Untung bersih Malakoff Corporation Bhd. (Malakoff) meningkat kepada RM67.0 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2019 berbanding RM52.91 juta dalam tempoh sama tahun lepas.
Hasil juga bertambah kepada RM2.01 bilion daripada RM1.60 bilion sebelumnya, khususnya disebabkan oleh pembayaran tenaga yang lebih tinggi yang direkodkan oleh Tanjung Bin Power Sdn. Bhd. dan loji arang batu Tanjung Bin Energy Sdn. Bhd. (TBE) ekoran harga arang batu yang tinggi.
Malakoff dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia berkata, penjana tenaga bebas terbesar negara itu berkata untung sebelum cukai syarikat itu melonjak kepada RM131.4 juta dalam Q1 2019 berbanding RM97.0 juta untuk tempoh sama tahun lepas.
“Ini disebabkan terutama oleh sumbangan yang lebih baik dari loji arang batu TBE, ekoran tiada kerosakan yang tidak diingini berlaku pada suku semasa, selain kos pembiayaan bersih yang rendah.
“Bagaimanapun, sebahagiannya diimbangi oleh kos operasi dan penyelenggaraan yang tinggi,” katanya di sini hari ini.
Dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, kumpulan itu akan terus memberi mengutamakan kebolehpercayaan dan kecekapan asetnya terutama loji tenaga TBE.
“Operasi loji itu di jadual dihentikan selama 70 hari (31 Mac 2019 hingga 9 Jun 2019) untuk kerja-kerja penyelenggaraan yang apabila siap akan lebih berdaya tahan,” katanya.
Ahmad Fuaad juga berkata, pemerolehan Alam Flora Sdn. Bhd. yang dijangka selesai menjelang akhir 2019 akan membolehkan kumpulan itu mengembangkan operasi dalam perkhidmatan berkaitan alam sekitar dan sisa buangan yang berpotensi tinggi. – BERNAMA











