KUALA LUMPUR- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menyalurkan bantuan sebanyak RM23.05 juta sempena bulan Ramadan bagi membantu asnaf dan golongan kurang bernasib baik di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, pelbagai aktiviti dan bantuan diberikan kepada golongan berkenaan sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Menerusi Bantuan Rahmah Ramadan Baitulmal MAIWP, kita turut mengadakan aktiviti agihan makanan berbuka puasa setiap hari sepanjang Ramadan melibatkan perbelanjaan RM0.38 juta.
“Bantuan ini juga merangkumi sumbangan Tabung Kebajikan Hospital Wilayah Persekutuan dan bantuan kepada pesakit berjumlah RM1.35 juta serta bantuan Ihya’ Ramadan kepada seluruh masjid dan surau di Wilayah Persekutuan berjumlah RM8.65 juta,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Berbuka Puasa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong bersama Agensi-Agensi Agama dan Asnaf Baitulmal MAIWP di Masjid Wilayah, hari ini.
Turut hadir Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr.Mujahid Yusof.
Dalam majlis ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan sumbangan kepada golongan asnaf baitulmal sebagai persiapan mereka menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.
Pengurniaan itu menyaksikan jumlah bantuan bernilai RM12.68 juta melibatkan 25,965 asnaf di bawah program Bantuan Rahmah Ramadan Baitulmal MAIWP.
Majlis itu turut menjadi platform pertemuan pertama Yang di-Pertuan Agong dalam menzahirkan penghargaan kepada ketua-ketua agensi agama persekutuan dan negeri dalam memperkasa Hal Ehwal Islam di negara ini. – K! ONLINE











