LRTSB peruntuk RM70,000 bantu asnaf - Utusan Malaysia

LRTSB peruntuk RM70,000 bantu asnaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN 25 Mei – Ladang Rakyat Terengganu Sdn. Bhd. (LRTSB) memperuntukkan RM70,000 untuk anak yatim dan keluarga asnaf di Cheneh Baharu, Felda Neram 2, Felda Cerul 1 dan Felda Cerul 2 di sini sebagai persiapan awal menyambut Aidilfitri.

Ketua Eksekutif LRTSB, Che Ku Hafeez Che Ku Denang berkata, di bawah peruntukan itu, seramai 118 keluarga dari golongan asnaf menerima wang tunai RM200 melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masing-masing.

“Antara MPKK terlibat ialah MPKK Peringkat 1 Bandar Cheneh Baharu, Peringkat 2 Bandar Cheneh Baharu, Peringkat 4 Bandar Cheneh Baharu, Felda Neram 2, Jenang Baru dan Cerul.

“Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri merangkap Pengerusi LRTSB, Satiful Bahri Mamat sempena majlis berbuka puasa bersama golongan asnaf di pekarangan Pejabat LRTSB dekat sini baru-baru ini.

Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab. Razak Ibrahim dan Pengurus Sumber Manusia dan Pentadbiran LRTSB, Mohd. Suhaimi Hassan.

Menurut Che Ku Hafeez, bagi 464 anak yatim, mereka akan menerima sumbangan tersebut melalui Sekolah Kebangsaan (SK) Cheneh Baru, SK Cheneh Baru 2, SK Felda Cerul, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheneh Baru, SMK Seri Cheneh dan SMK Cerul.

“Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang termasuk di dalam agenda tahunan LRTSB,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Ujarnya, menjadi harapan LRTSB agar golongan itu juga sama-sama menyambut Aidilfitri dalam suasana meriah sepertimana orang lain. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×