Loji perintis pengeluaran hidrogen Sarawak dijangka beroperasi 27 Mei - Utusan Malaysia

Loji perintis pengeluaran hidrogen Sarawak dijangka beroperasi 27 Mei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING – Ujian dan pengoperasian loji perintis pengeluaran hidrogen Sarawak dan stesen mengisi bahan api itu dijangka siap pada 27 Mei.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, negeri itu juga telah memperoleh tiga bas menggunakan tenaga kuasa hidrogen sebagai sebahagian projek perintisnya itu dan penyelidikan untuk mewujudkan sistem pengangkutan awam hijau.

“Saya telah bercakap mengenai Sarawak mengeluarkan hidrogen sebagai (sumber) tenaga hijau alternatif kerana negeri kita kaya dengan sumber air yang boleh ditukarkan menjadi hidrogen untuk kegunaan pengangkutan awam malah untuk eksport.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami menjalin usaha sama dengan Linde Group, syarikat gas perindustrian terkemuka dunia, dan Hydrogenics, syarikat penjanaan hidrogen berasaskan elektrolisis air terkemuka dunia, bagi projek ini,” katanya dalam ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Abang Johari berkata, Sarawak mempunyai semua kelebihan dalam menghasilkan bahan api hidrogen daripada air pada kos lebih rendah dengan menggunakan tenaga hijau seperti tenaga hidro.

Beliau berkata, Sarawak tidak lama lagi akan dapat mengeksport hidrogen ke negara seperti Amerika Syarikat, Eropah, Korea Selatan dan Jepun yang kini menghasilkan kenderaan menggunakan kuasa hidrogen.

Beliau yakin ia akan menjadi sumber hasil masa depan negeri ini, sama seperti eksport gas asli cecair.

Abang Johari berkata, dari tahun 2013 hingga 2017, 6,500 kereta menggunakan kuasa hidrogen telah dijual di seluruh dunia.

Mengenai cadangan projek Transit Aliran Ringan (LRT), beliau berkata, kerajaan negeri akan meneruskan kajian teknikal terperinci berhubung pelaksanaan Fasa Satu, meliputi kawasan paling padat di Kuching dan Samarahan, menggunakan pilihan teknologi yang paling sesuai. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini