LONDON 2 Mei – Virgil van Dijk menegaskan bahawa Liverpool tidak bimbang dengan risiko menamatkan saingan musim ini tanpa sebarang trofi kejuaraan selepas tewas kepada Barcelona, awal pagi tadi.
Skuad kendalian Jurgen Klopp mengalami kekalahan besar 0-3 kepada Barcelona dalam saingan separuh akhir pertama di Camp Nou.
The Reds menikmati musim cemerlang tetapi ketinggalan satu mata di belakang Manchester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris dengan berbaki dua perlawanan musim ini.
Van Dijk berkata, Liverpool tidak memikirkan perkara itu sebaliknya akan terus beri tumpuan kepada setiap perlawanan yang ada termasuk Newcastle, Sabtu ini.
“Kami tidak fikir mengenai perkara itu.
“Kami menikmati musim yang baik dan kami akan cuba menang sesuatu dan jika tidak, kami akan terus bekerja keras.
“Kami berbangga dengan diri kami, bermain dengan salah satu pasukan terbaik dunia dan liga yang sedang kami lalui juga memiliki pasukan terbaik dunia.
“Kami berada dalam kedua-dua perlumbaan dan banyak pasukan mahu berada di kedudukan kami ketika ini,” katanya.-AGENSI











