LIVERPOOL – Kapten Liverpool, Jordan Henderson mahu pasukannya meniru kejayaan Manchester City dengan menjuarai pelbagai trofi dipertandingkan pada musim depan bermula dengan meraih gelaran Liga Juara-Juara (UCL) hujung minggu ini.
The Reds perlu menewaskan Tottenham Hotspur pada aksi final UCL di Stadium Wanda Metropolitano pada awal pagi Ahad ini dalam misi merangkul trofi pertama mereka sejak 2012, sekali gus mampu menjadi titik permulaan kepada kejayaan yang lebih besar selepas ini.
“City sudah memenangi tiga trofi musim ini walaupun mereka gagal ke perlawanan akhir UCL. Kami mahu meraih pencapaian yang sama seperti mereka.
“Kami tidak mahu sekadar memenangi satu kejuaraan sahaja dalam tempoh semusim. Kalau boleh, kami mahu menang dan terus menang pada setiap tahun.
“City adalah contoh terbaik kerana mereka tidak pernah puas menjulang kejuaraan tahun demi tahun. Jadi, inilah yang perlu dilakukan oleh Liverpool selepas ini,” kata Henderson.
Pemain tengah England itu juga berharap kejayaan menjulang trofi UCL musim ini dapat mengubati kekecewaan mereka terlepas peluang mendakap trofi Liga Perdana England (EPL) musim ini kepada The Citizens.
“Walaupun semua pemain kecewa dengan kegagalan ini, tetapi kami sudah melupakannya dan memberi fokus kepada final UCL nanti. Kami boleh mengubah ‘tragedi’ di EPL ini pada final nanti.
“Ini adalah peluang terbaik buat kami untuk menamatkan kempen dengan menjulang satu gelaran setelah gagal melakukannya selama ini,” jelasnya. – Agensi











