LONDON 7 Mei – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola akui persaingan merebut gelaran Liga Perdana Inggeris musim ini lebih memihak Liverpool berikutan tiada tekanan buat The Reds berbanding pasukannya.
Ketika ini City kembali ke puncak liga dengan kemenangan 1-0 ke atas Leicester City menerusi jaringan menarik daripada Vincent Kompany.
Dalam masa sama Liverpool terus memberikan tekanan kepada City sepanjang musim yang menyaksikan skuad kendalian Jurgen Klopp memenangi lapan perlawanan Liga Perdana Inggeris selain turut melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara.
Kata Guardiola, banyak perkara yang harus mereka teliti menjelang aksi terakhir liga dalam misi memastikan gelaran musim ini mampu diraih.
“Masalahnya adalah cara kami bermain.
“Ketika menentang Burnley kami hanya mampu mengatasi dengan keputusan 1-0 tetapi kami tidak membenarkan lawan mendapat sepakan sudut dan hanya satu sepakan tepat ke arahan jaringan.
“Bagi saya Liverpool tidak menghadapi tekanan yang sama kerana menyedari penentuan juara liga bukan di tangan mereka.
“Sebaliknya, ia bergantung kepada kemenangan kami.
“Kini hanya tinggal satu lagi perlawanan dan kami akan berusaha untuk melakar kemenangan sekali gus mempertahankan gelaran liga,” kata Gardiola.
City akan berdepan perlawanan terakhir liga menentang Brighton pada Ahad ini. – AGENSI











