CYBERJAYA – Universiti Limkokwing telah bekerjasama dengan Institut Teknologi Maklumat dalam Pendidikan (IITE) dan Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk membangunkan kaedah pengajian bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk pelajar orang kelainan upaya (OKU).
Naib Presiden Kanan Pemerkasaan Industri, Universiti Limkokwing, Datuk Raja Aznil Raja Hisham berkata, kerjasama itu merupakan salah satu aspek untuk memudahkan pengajian pelajar OKU di universiti itu sama seperti pelajar lain.
Jelasnya, melalui kerjasama itu, pihak universiti dan IITE akan mengadakan kajian dan pembangunan secara mendalam dalam usaha untuk menggunakan teknologi ICT dalam pembelajaran mereka.
“Kita juga akan menggunakan teknologi canggih seperti kaedah interaktif, pembelajaran dalam talian dan teknologi bantuan lain sewaktu pembelajaran.
“Universiti Limkokwing dan IITE telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) Februari lalu di Moscow, Rusia dan pertemuan pada hari ini untuk membincangkan pelbagai jenis projek baharu untuk pelajar OKU pada masa hadapan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Unit Pembangunan dan Jaringan Profesional Guru IITE UNESCO, Natalia Amelina.
Terdahulu, projek melalui Yayasan Orang Kurang Upaya Limkokwing tersebut turut melibatkan projek baharu iaitu ICT for University Assessibility Network yang menumpukan penglibatan sosial golongan berkenaan dikalangan masyarakat.
Mengulas lanjut, menurut Raja Aznil, setakat ini, seramai 15 pelajar OKU yang melanjutkan pengajian mereka di Universiti Limkokwing dalam lima bidang kreatif yang ditawarkan di universiti tersebut.
Sementara itu, menurut Natalia, terdapat banyak lagi projek baharu yang sedang dibincangkan oleh pihaknya dengan Universiti Limkokwing untuk membantu pelajar OKU.
“Matlamat utama kita adalah untuk membantu mereka tidak kira dalam proses pembelajaran atau pengajaran. Dengan perkembangan teknologi era ini, saya pasti ia akan memberi manfaat kepada pelajar OKU di universiti ini.
“Kita sedang mengadakan perbincangan dan projek itu akan diumumkan oleh pihak universiti tidak lama lagi,” katanya. – K! ONLINE











