Liga Super: Felda United hilang tiga tonggak berdepan Melaka United - Utusan Malaysia

Liga Super: Felda United hilang tiga tonggak berdepan Melaka United

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN – Pasukan Felda United berdepan misi sukar untuk mendapatkan tiga mata apabila bertandang ke Stadium Hang Jebat berdepan Melaka United malam esok ekoran kecederaan tiga tonggak utamanya.

Penyerang baharunya, Mohamad Khairul Amri Mohammad Kamal masih dibelenggu kecederaan di bahagian bahu manakala Mohd Hadin Azman dan Jasazrin Jamaludin belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami sebelum ini.

Pengendali Felda United, Mohd Nidzam Jamil berkata, beliau terpaksa merehatkan ketiga-tiga pemain tersebut bagi membolehkan mereka menjalani proses pemulihan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya akan menilai prestasi pemain lain untuk mencari pengganti tiga pemain ini kerana kita perlu mencari tiga mata berdepan Melaka United.

“Abdul Azim Rahim sudah pasti akan kembali mengetuai jentera serangan untuk merobek kubu pertahanan lawan,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.

Menurutnya, beliau menagih aksi terbaik benteng pertahanan yang diketuai oleh Thiago Aquino untuk menyekat serangan pemain-pemain tuan rumah.

“Kita mahu melihat semua pemain pertahanan beraksi dengan baik seperti yang ditampilkan ketika mengikat Kuala Lumpur tanpa jaringan baru-baru ini,” ujarnya.

Mohd Nidzam memberitahu, keputusan seri 1-1 pada perlawanan pusingan pertama Liga Super 26 April lalu tidak lagi relevan untuk dijadikan kayu pengukur kekuatan anak-anak buah Zainal Abidin Hassan itu.

“Mereka mempunyai ramai pemain yang hebat terutama penjaga golnya, Khairul Fahmi Che Mat dan dua pemain yang berpengalaman di bahagian pertahanan iaitu Syukor Adan dan Razman Roslan,” jelasnya. 

Tambahnya, beliau yakin anak-anak buahnya akan memberi saingan hebat kepada tuan rumah bagi memastikan mereka tidak pulang dengan tangan kosong. 

Felda United kini menghuni tangga kedua tercorot Liga Super selepas mengutip lapan mata selepas 12 perlawanan. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini