KUANTAN – Panik diugut akan ditangkap polis dan dikurung dalam bilik gelap, seorang pesara berusia 60 tahun di sini kerugian RM161,000 selepas termakan tipu daya ‘Inspektor Kumar’.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, wanita berkenaan pada awalnya dihubungi individu menyamar pegawai cukai pada 21 April lalu.
“Suspek pertama menyamar pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri dan memberitahu pesara itu terlibat kes dadah, selain meminta mangsa membayar cukai pendapatan sebanyak RM20,000.
“Seterusnya, talian telefon beberapa kali disambungkan kepada individu menyamar polis,” ujar beliau menerusi kenyataan kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah beliau lagi, suspek yang menyamar sebagai Inspektor Kumar telah mengugut mengurung mangsa selama 45 hari tanpa diberi makan dan minum semasa proses siasatan kes itu dijalankan.
“Mangsa juga diminta membuat bayaran berjumlah RM161,000 melalui transaksi pemindahan wang ke dalam lima akaun individu tidak dikenali,” katanya.
Mangsa yang berasal dari Kampung Pelindung, Beserah dekat sini membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam.
Mohd. Wazir berkata, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE











